14 May 2008

SEKAPUR SIRIH SEKACIP PINANG

MENGARANG pantun tidaklah semudah yang disangka. Pantun yang baik harus patuh kepada hukum dan peraturan yang sedia ada. Mengarang pantun perlukan disiplin yang tinggi dari segi pemilihan diksi, sensitif terhadap rima tengah dan hujung baris serta jumlah kata yang minumum. Saya banyak membaca dan mempelajari skema pantun melalui buku-buku, majalah-majalah atau secara lisan oleh teman-teman dan orang-orang tua.

Pengalaman menyiapkan buku ini bagaimana pun tidaklah rumit. Saya telah mengarang sebanyak lebih 300 buah pantun, merupakan gubahan yang saya buat menerusi telefon bimbit, kebanyakannya. Selebihnya draf awal pada buku catatan. Ada masanya saya menghantar kepada teman-teman terdekat. Bahkan ada ketikanya saya menghantar ke laman web yang saya selenggarakan. Pantun-pantun itu mendapat reaksi yang memberangsangkan malahan memperkembangkan keindahannya lebih jauh: dari alam diri ke alam realiti seterusnya ke alam maya!

Pantun-pantun dalam Usul Mengenal Asal ini sebahagian besarnya adalah ingatan-ingatan dan pengalaman masa lalu, juga catatan perjalanan yang saya gubah sebagai pembayang. Maksud pantun menggabungkan pelbagai tema peribadi, adab dalam masyarakat, keagamaan, kasih sayang dan patriotisme. Pantun-pantun berkenaan saya bahagikan kepada lima bahagian: Bersantun Berbahasa (24 rangkap), Memimpin Rindu (54 rangkap), Ufuk Pasrah (48 rangkap), Usul Mengenal Asal (60 rangkap) dan Kalau Bukan Kehendak Hati (60 rangkap).

Saya amat berterima kasih kepada teman-teman terdekat seperti Oneh Latifah Osman, Tiara MT, Mabulmaddin Shaiddin dan Rem yang pernah ‘membeli’ pantun-pantun saya. Kehadiran buku ini tidak bermaksud: inilah pantun-pantun yang terbaik. Hasrat saya agar buku ini menjadi bahan bacaan semua peringkat sama ada orang awam, pelajar, pekerja, pesara dan sebagainya. Setidak-tidaknya jika dijadikan terapi karya sastera boleh mengendurkan resah gundah di hati, menyimpul senyuman dan melapangkan fikiran yang bercelaru.

Hasyuda Abadi
Pustaka Iqbal Nazim
Kota Kinabalu.

HAKCIPTA TERPELIHARA 2008 HASYUDA ABADI

SELAYANG PANDANG SEKILAS RASA

Bila usul mengenal asal, bagaikan sirih pulang ke gagang, laksana pinang datang bertampuk; ia penuh dengan warna dan rona tempatan. Dikiaskan pula dengan citra lokal menerusi improvisasi gaya pengucapan ‘ala Hasyuda Abadi’. Ada keanehan. Ada juga tikaman.

Dunia sastera Sabah sebetulnya masih asing dengan genre puisi tradisional (seperti pantun, syair, gurindam, dan seumpamanya). Saya fikir, sebelum tahun 2006, belum ada sebarang usaha menerbitkan antologi khusus bagi genre sebegini. Pun begitu, tahun 2006 menyaksikan satu perubahan signifikan. Lanskap sastera Sabah tiba-tiba diperkayakan dengan tiga kumpulan puisi tradisional, khusus bagi genre pantun Melayu. Sebelum lahirnya Usul Mengenal Asal (Hasyuda Abadi), dua buah kumpulan pantun lain telah pun mewarnai alam sastera Sabah seawal tahun ini – Kumpulan Pantun di Bawah Bayu (Zaini Ozea) dan Puteri Cinta (Ony Latifah Osman). Dalam konteks kesusasteraan Sabah, di antara tiga kumpulan pantun perintis ini – manakah yang paling wajar diangkat sebagai naskhah klasik bagi mewakili genre tradisional ini? Saya fikir ini satu persoalan subjektif dan perlukan tilikan yang lebih mendalam.

Bagaimanapun, saya sangat terpesona dengan gaya Hasyuda Abadi menerusi percubaan sulung beliau dalam genre yang mencabar ini. Pada pengamatan saya, Usul Mengenal Asal (UMA) bukan sebuah himpunan pantun yang biasa-biasa. Ia tidak sahaja kaya dengan citra tempatan; bahkan pengarangnya juga turut menyuntik beberapa elemen improvisasi pada teknik konvensional penghasilan pantun. Kedua-dua keunikan ini jelas menjadi teras kekuatan UMA, sekalipun saya mengakui masih ada sedikit-sebanyak lompang yang Hasyuda boleh perbaiki untuk meningkatkan kualiti pantun-pantunnya (terutama bersabit aspek keaslian).

Bagaimanapun, saya sangat terpesona dengan gaya Hasyuda Abadi menerusi percubaan sulung beliau dalam genre yang mencabar ini. Pada pengamatan saya, Usul Mengenal Asal (UMA) bukan sebuah himpunan pantun yang biasa-biasa. Ia tidak sahaja kaya dengan citra tempatan; bahkan pengarangnya juga turut menyuntik beberapa elemen improvisasi pada teknik konvensional penghasilan pantun. Kedua-dua keunikan ini jelas menjadi teras kekuatan UMA, sekalipun saya mengakui masih ada sedikit-sebanyak lompang yang Hasyuda boleh perbaiki untuk meningkatkan kualiti pantun-pantunnya (terutama bersabit aspek keaslian).

Satu ciri istimewa pantun sebagai genre kesusasteraan Melayu ialah sifatnya sebagai ‘perakam’ entiti-entiti persekitaran sesebuah masyarakat (yang menjadi latar terciptanya pantun-pantun tersebut). Rakaman itu merangkumi aspek bio-fizikal, sosio-budaya dan unsur-unsur manusiawi – yang seharusnya tepu dengan citra tempatan. Dari sudut ini, saya fikir Hasyuda berjaya mendukung peranannya dengan sangat baik. Sebahagian contoh kecil (tetapi besar maknanya terhadap pencitraan dunia lokal Sabah) yang boleh dipetik daripada UMA ialah:

Bond Street nama dahulu,
Jalan Gaya mahsyur hebat;

Sungai Manila tidak bersungai,
Korban biasa perubahan masa;

Tun Mustapha nama terkenal,
Limau-limauan kampung kelahiran;

Dulu Diasoka menjadi Api-Api,
Kota Kinabalu gemilang bertakhta; 

Petikan contoh-contoh di atas menunjukkan ketelitian Hasyuda mengadun rona-rona tempatan dalam karya pantunnya. Lebih penting lagi, bukan citra tempatan sekadar citra yang lazim-lazim. Tetapi ianya diperkaya dengan nilai-nilai yang jelas – dari sudut geografi, sejarah dan politik. Saya tiada pilihan selain mengagumi pewarnaan-pewarnaan yang tersurat ini. Ya, menonjolkan elemen-elemen lokal sebegitu – tidak semudah yang disangka. Apatah lagi, kaedah penulisan pantun sangat terikat dengan tatacara tertentu yang agak rigid. Tidak seperti puisi moden yang lebih bebas dan terbuka. Saya fikir ketajaman citra tempatan inilah yang meletakkan UMA sedikit istimewa berbanding dengan Kumpulan Pantun di Bawah Bayu (Zaini Ozea) dan Puteri Cinta (Ony Latifah Osman).

Saya juga menyukai penjudulan dan pembahagian segmen dalam antologi pantun ini. Sifat simbolik yang ditampilkan (sekalipun sedikit menyanggah ciri pantun tradisional yang telus dan eksplisit) tetap membikin saya teruja. Ia kaya dengan falsafah, dan sekaligus menuntut para pembaca berfikir dan menaakul dengan aktif. Pembahagian-pembahagian yang dibuat juga boleh memandu pembaca untuk meneroka jalur fikir dalam UMA dengan lebih terfokus. Justeru, impak baca yang optima boleh dinikmati dengan mudah.

Ada lima segmen utama dalam UMA yang disusun oleh Hasyuda dengan turutan berikut: Berbahasa Bersantun, Memimpin Rindu, Ufuk Pasrah, Usul Mengenal Asal dan Kalau Bukan Kehendak Hati. Berbahasa Bersantun memperihalkan isu-isu tentang susila dan pekerti, khususnya konteks sosio-budaya masyarakat tempatan di nusantara. Memimpin Rindu pula sekalipun satu himpunan tentang nostalgia rindu, perindu dan kerinduan – ia masih menyelitkan elemen-lemen kemesraan sesama insan. Ufuk Pasrah ialah satu pengembangan daripada segmen sebelumnya, dan ia khusus menghimpun pantun kasih sayang yang meliputi semua interaksi manusiawi – tidak hanya terhad kepada persoalan cinta ‘jiwang’ semata-mata.

Segmen Usul Mengenal Asal merupakan bahagian yang saya fikir paling istimewa dalam kumpulan pantun ini. Ia berfokus kepada hal-hal keperibadian insan dan norma budaya masyarakat. Lebih spesifik lagi, segmen ini secara tersiratnya cuba menyampaikan gagasan untuk kita semua mengenali dan kembali kepada fitrah asal sosio-budaya sendiri. Ini jelas tergambar menerusi tajamnya kiasan berikut;

Pondok bertukar bangsal,
Bangsal di pinggir desa;
Usul mengenal asal,
Bahasa mengenal bangsa. 

Bahagian terakhir Hasyuda tajukkan sebagai Kalau Bukan Kehendak Hati. Saya suka dengan pilihan kata-katanya: bernada tradisional dan memiliki seni kias yang sungguh simbolik. Lebih indah lagi, bahagian ini sebenarnya merupakan satu ‘rumusan’ kepada empat segmen sebelumnya. Ia merupakan satu gandingan yang mengintegrasikan kemelut dan konflik manusia individu dan komuniti, menerusi garapan nilai budi pekerti, kasih sayang, rindu kemesraan, norma budaya dan keperibadian bangsa.

Saya selalunya amat kedekut dengan pujian. Jadi, saya tidak mahu catatan pengantar pendek ini kedengaran seperti sengaja menggula-gula semahunya, tanpa sebarang asas. Pun begitu, saya tidak boleh nafikan rasa pesona saya pada daya kreativiti Hasyuda dalam menstrukturkan tujahan fikirnya. Selain penjudulan yang agak provokatif, Hasyuda juga betul-betul memahami matlamat setiap agihan segmen yang dibuatnya. Tidak seperti beberapa antologi yang pernah saya baca sebelum ini, yang sifatnya agak sambalewa. Misalnya, tiada pembahagian langsung atau pemilihan segmen yang tidak berkesinambungan dan tiada inti terfokus. Paling tidak, UMA berjaya menyanggah kelemahan-kelemahan begitu.

Dr. Ramzah Dambul 
Universiti Malaysia Sabah 
Kota Kinabalu
HAKCIPTA TERPELIHARA 2008 HASYUDA ABADI

BERBAHASA BERSANTUN

Kereta berlumba di tengah bandar,
Saat berundur tergilis ayam;
Bicara hamba membuka lembar,
Tangan dihulur menyambut salam.

Bayu menderu beralih ribut,
Atas bukit air bertakung;
Bertandang tetamu mesti disambut,
Berbahasa bersantun nadi pendukung.

Beluran ke Paitan meredah rimba,
Lebuh raya kini sudah terbukti;
Bersantun bersopan memuji hamba,
Bukan memuji melunas budi.

Jalan raya semakin sesak,
Ke kota di hujung minggu;
Bila bahasa semakin rojak,
Pakar kata semakin perlu.

Buat batik atas meja,
Jahit menjahit pilihan si Bulat;
Buat baik asas berpada,
Sifat jahat jangan dibuat.

Hidang laksa sarapan pagi,
Agar bertenaga masa belajar;
Budaya berbahasa jadi sinergi,
Perteguh siaga semangat diikrar.

Kedidi angsa punai kenari,
Bebas bernyanyi di tepi paya;
Budi bahasa dan nilai murni,
Asas harmoni sejahtera budaya.

Rantai suasa baru dicelup,
Untuk dipakai ke majlis Pak Harun;
Budi bahasa amalan hidup,
Susila bangsa turun temurun.

Dalam buku banyak dihidang,
Pantun digubah jadi renungan;
Fikiran beku mengapa bimbang,
Andai diubah rentak kehidupan.

Gadis Cina berambut perang,
Menyimpul senyum ayu sekali;
Indah laksana bulan terang,
Bahagia menguntum tidak terbeli.

Irama puisi memaut rasa,
Gambus dialun gendang dipalu;
Indah peribadi kerana bahasa,
Sopan santun diamal padu.

Ikan bakar masih dipanggang,
Digaul rempah enak aromanya;
Ingin dibiar melayan radang,
Bila terngadah baru ternganga.

Menonton kartun jadi kegemaran,
Mengisi masa hujung minggu;
Karangan pantun bersulam pengertian,
Maksud berbisa intikan ilmu.

Ke Mesapol berjalan batis,
Selipar diganti kasut dibuang;
Jika tumpul pisau menghiris,
Tumpuan hati tetap dipandang.

Menyiut badus tersiut sepat,
Kenangkan bungar masak digulai;
Kalau bertarung ke arah mufakat,
Tidak tujuan layu terkulai.

Pantun Melayu memang pilihan,
Warisan sastera renungan warga;
Kuisi waktu memandang zaman,
Asuhan bersuara berbudi siaga.

Anjung Senja Anjung Sutera,
Medan selera pulau di depan;
Kunjung menyapa budaya mulia,
Rapat saudara sahabat taulan.

Anak buaya belajar berenang,
Dalam kolam airnya cetek;
Letak budaya landas gemilang,
Kelak tersulam bangsa yang cantik.

Pesta Kaamatan di hujung Mei,
Anak bumi raikan bersama;
Selamat datang ke tempat kami,
Damai di hati di sambut mesra.

Kecil perahu bukan penyebab,
Masuk air karamlah pula;
Sudah tahu demikian beradab,
Kelak zahir kehidupan sempurna.

Intan disepuh emas nilainya,
Anak raja berbaju biru;
Tanpa disuruh tersimpul senyumnya,
Semat di jiwa amal selalu.

Jalan berbatu menjadi cabaran,
Bukit bukau diratakan sudah;
Teladan ku beri penyuluh jalan,
Bukti tanda hidup berhemah.

Lereng Tanaki lokasi perkhemahan,
Peserta beriadah menjana ilham;
Terima kasih kami ucapkan,
Jika bersalah rapatkan salam.

Lubang Buaya ungkapan gerun,
Biasa disebut menjadi nama;
Tidak kaya jangan melamun,
Tidak rugi berhemah rasa.

HAKCIPTA TERPELIHARA 2008 HASYUDA ABADI

MEMIMPIN RINDU

Orang Jawa ramai di pasar,
Jual jamu jadi pekerjaan;
Andai jiwa diukur besar,
Tiada jemu hadapi cabaran.

Bakar kayu dapatkan asapnya,
Tiada agas menggigit kaki;
Andai sayu ada ucapnya,
Dapatlah dialas mekar di hati.

Kenapa menimba air telaga,
Hujan turun belum tentu;
Apa makna rahsia cinta,
Jika hanya rasa keliru.

Langkah Malaysia sungguh berani,
Pemimpin tersohor cepat bertindak;
Apakah rahsia menyembunyi wangi,
Meski berkubur hilangnya tidak.

Arah mana punai melayang,
Atas dusun si mangga epal;
Arah mana pandai mengenang,
Duduk melamun melerai sesal.

Di tengah laut pulau Karimun,
Singapura masih di depan mata;
Bila bertaut hasrat berkurun,
Diserah kasih jiwa dan raga.

Pengalat Kecil menjadi nama,
Dangau Budaya tersimpan buku;
Bukan degil cinta diterima,
Tidak upaya melawan rindu.

Hari cerah indah mentari,
Berbunga awan mulai berarak;
Bulan berdarah percik ke bumi,
Namun lautan tetap berkocak.

Tampi pulut tepi tingkap,
Liau Umar berbaju lawa;
Cinta berpaut tidak diungkap,
Lambat melamar kelak kecewa.

Kayu manis rasanya nyaman,
Buah pala pelengkap rasa;
Daku menangis tidak ketahuan,
Dalam tawa tersimpan rahsia.

Petik peria di pagi minggu,
Kereta merah tiba berhenti;
Dibela setia dielak jemu,
Menadah pasrah restu Ilahi.

Beli hadiah hari jadi,
Buah tangan para guru;
Di puncak gunung melayan diri,
Tiada teman tempat mengadu.

Puluhan pulau memikat peminat,
Mantaking Langkayan jelingan lanun;
Fikiran galau tidak selamat,
Rungsing dilayan ilmu tak bangun.

Dapatkan selasih di kebun kubis,
Buah tembikai pula yang jumpa;
Harapkan kasih entahkah habis,
Di tangkai rasa sentiasa menguja.

Panas terik waktu kemarau,
Padi bukit subur ditugal;
Hati ditarik bertemu dikau,
Bukan sedikit rindu menebal.

Keritapi tua jalan perlahan,
Landasan lama masih diguna;
Hati hiba terkenang teman,
Teman lama entah di mana.

Burung berkicau pagi menjelma,
Embun mengalir di daun teratai;
Hati risau tidak bersapa,
Masihkah hadir rindu dirungkai?

Tidak dapat menyulam benang,
Benang basah jangan tegakkan;
Hendak rapat segan menggalang,
Kala jauh rindu rinduan.

Hitam maritam pun manis juga,
Dimakan isi bukan kulitnya;
Hitam-hitam pun cantik juga,
Setia di isi memandang dinda.

Tetak tebu tempat mandi,
Air hangat dijerang dulu;
Jangan pilu dalam hati,
Ada hayat boleh bertemu.

Hujan gerimis di waktu senja,
Bawah simpur tempat berehat;
Jika habis tempat bermanja,
Tidak kutidur sepanjang hayat.

Pantun dihias kata terpilih,
Jadi penghubung hasrat terpendam;
Jika jelas hitam dan putih,
Jadi adunan kasih disulam.

Meraba Banting semacam tempat,
Beli lokan di gerai Inuman;
Jika pusing diancam penat,
Cari rakan ukir senyuman.

Atas beca duduk mengarang,
Karya dipilih rejang Bang Johar;
Jika tiada aral menghalang,
Tidak berdalih datang melamar.

Dusun buahan di atas bukit,
Saujana luas memikat pandangan;
Kala berjauhan terasa perit,
Belum puas diuji pengalaman.

Kota Tinggi Bandar raya baru,
Tanahnya rata bangunan banyak;
Kata hati ingin bertemu,
Hanya masa cepat beranjak.

Kicau gagak sakitkan telinga,
Suara riuh di ranting sirih;
Kiranya teragak bulatkan kata,
Ketepi keruh kutip yang jernih.

Mawar tidak sebarang mawar,
Mekar bunga di tanah tinggi;
Lamar tidak sebarang lamar,
Lamar hamba berniat murni.

Putera jaya nama terkenal,
Lokasi banggaan rakyat Malaysia;
Mahu berjaya gagal tak kenal,
Pandu kekuatan senjata manusia.

Pulau Manang selepas Bukau,
Orang Kedayan menjual nenas;
Mari bersenang bersenda gurau,
Pupuk kenangan jiwa terhias.

Hujung benua tempat dituju,
Tanjung Piai jadi tumpuan;
Masa bersua menghilang rindu,
Sudah sampai hasrat idaman.

Potong kayu di dalam hutan,
Diikat rapi untuk dijual;
Masa lalu tidak diabaikan,
Sebati abadi ingatan kekal.

Ahmad disuruh memanjat kelapa,
Gelikan semut lalu bertopi;
Memang sungguh tidak dilupa,
Rindu berpaut di lesung pipi.

Ayam berkokok penanda masa,
Mimpi indah masih bersauh;
Mengapa kekok ketika bersua,
Rasa mesra ketika jauh.

Anak itik diajar berenang,
Anak ayam kehilangan indung;
Nila setitik bagai perangsang,
Maksud dipendam usahlah lindung.

Membaca pantun dari sahabat,
Seawal pagi subuh yang hening;
Penyakit batin segera tersemat,
Kiranya hati selalu rungsing.

Bunga ditanam depan halaman,
Pohon mangga berbuah lebat;
Rakan teman menguja pengalaman,
Mesra keluarga mengakrab dekat.

Bak-Bak terkenal pantai,
Hujung Borneo sudah hampir;
Rasa sebak fikir dibuai,
Kijang ditunggu rimau yang hadir.

Rindu dendam keluh kesah,
Bagai sembilu menusuk kalbu;
Rindu dalam hatiku resah,
Terasa pilu tidak bertemu.

Manaradan seni tarian bambu,
Monundatang Mongurali ada irama;
Saat berani azimat kalbu,
Meski berkali cabaran menjelma.

Anak ayam negara jiran,
Jangan sembarang dibawa ke sini;
Saat diam menjadi pilihan,
Jangan bersarang hasad membenci.

Pulau Banggi Pulau Balambangan,
Teluk Lung cantik dan redup;
Saat hati sudah tertawan,
Peluk gunung tidakkan cukup.

Anak ayam jalan berempat,
Menuju reban waktu senja;
Salam disulam terpancar amanat,
Dalam ingatan dielus manja.

Daun pandan sedia diikat,
Dalam kuali bangkit aroma;
Sama padan sama memikat,
Baru kini boleh bersama.

Atas laut kapal berlabuh,
Ramai orang riadah di pantai;
Sudah berpaut hati bersungguh,
Tambah sayang diusik badai.

Mohamad Salleh pahlawan berani,
Melawan Inggeris jadi kenangan;
Sudah dipilih jalan sendiri,
Masih menangis dalam ingatan.

Sudah kuraut pensil yang tumpul,
Lukis lakaran pandangan belantara;
Sudah kupaut wajah tersimpul,
Kusimpan utuh mengurai lara.

Bajau Sama di kota bukit,
Bukit jelas di pesisir laut;
Sudah lama derita sakit,
Sakit digalas rindu bertaut.

Arah dituju Kampung Piasau,
Naik lori membawa damar;
Sudah setuju kenapa risau,
Tidak lari gunung dikejar.

Atas kertas bertinta emas,
Kiriman ingatan orang dahulu;
Tiada batas kata dihias,
Indah sapaan beralas rindu.

Dari Kukup ke Felda Saping,
Merentas hutan jalan berliku;
Tidak cukup waktu berdamping,
Hanya kenangan memimpin rindu.

Padang Berampah sebelum Sindumin,
Tanaman subur di atas pasir;
Takkan tumpah peristiwa kelmarin,
Takkan berkubur cinta terukir.

Kain baldu pilihan hawa,
Dibuat baju pelbagai jenis;
Tidak rindu lenyap di jiwa,
Dalam kalbu dirasa manis.

Kuih bangkit ramai peminat,
Pasar raya menjual juga;
Waktu sakit kembali beringat,
Rasa sengsara bertaubat nasuha.


Hakcipta Terlihara © 2008 HASYUDA ABADI

UFUK PASRAH

Budak-budak membaca buku,
Buku sejarah zaman bahari;
Adinda tidak seperti dahulu,
Apakah sudah ada pengganti?

Teluk Likas indah membiru,
Menara Tun Mustapha terpacak gagah;
Andai belas benar rasamu,
Kelak nestapa tidak menggugah.

Sepanjang taman memetik bunga,
Ramai memandang senyum diberi;
Andainya teman telah dipunya,
Tetaplah sayang bagai terjanji.

Labuan bandar tengah lautan,
Laut China belayar feri;
Tempat bersandar tiada kekuatan,
Tempat lena tiada bermimpi.

Gunung Kinabalu warisan Malaysia,
Warga Aki Nabalu mistik memuja;
Agung doamu secarik rahsia,
Serahkan kalbu runduk redha.

Buah salak tanaman subur,
Banyak dijaja di hari tamu;
Anak-anak sumber penghibur,
Lupakan segala duka yang lalu.

Rumah rendah tidak berpagar,
Banyak bunga tumbuh keliling;
Biar diendah seperti diajar,
Kelak bahagia menghindar rungsing.

Elakkan sengketa wujudkan harmoni,
Cemerlang gemilang harapan bersama,
Bila sekata bersimpul di hati;
Qadak dan qadar menentukan segala.

Mazmumah berupa sifat yang keji,
Dibenci insan cintakan mahmudah;
Bersihkan jiwa putihkan hati,
Mohon perteguh lapangkan hasanah.

Sifat mahmudah impian akhir,
Jauhi segala perbuatan mungkar;
Dakap iman menyuluh zahir,
Hidayah Ilahi batin memekar.

Dalam peti ada roti,
Pada roti dibubuh kaya;
Andai hati ada benci,
Pada benci hilang percaya.

Hilang terang berganti gelap,
Tanda malam sedang menyapa;
Biarlah tenang hadapi silap,
Jangan suram hidup berduka.

Tunggang kuda sepanjang pantai,
Terbang laju sekawan bangau;
Diri diduga bagai terabai,
Pergi jauh bawa merantau.

Ekor kucing jadi penarik,
Terkurung sedih dalam raga;
Gemar memusing tidakkah serik,
Teman beralih tidak menyapa.

Alunan syair membangun sunyi,
Dalam halaman rerama terbang;
Hanya takdir jelas memberi,
Pasrah segala dipintal tenang.

Jalan berbatu sudah bertar,
Selesa rasa nikmat merdeka;
Jika bersatu janji ditukar,
Hanya masa mengubat luka.

Putih hitam warna kehidupan,
Jadi kiasan sepanjang hayat;
Kala malam syahduku aman,
Pada Tuhan dipohon hidayat.

Terpaksa meniti jalan yang sempit,
Jika alah bila nak tiba;
Kalau nanti datang sedikit,
Hanya Allah pemilik rahsianya.

Mawar dihias di atas meja,
Meja berukir seni Melayu;
Kekar di hati sentiasa memuja,
Belum berakhir kasihmu layu.

Hanyut sabut dibawa arus,
Hujan turun bukit sebelah;
Kelak disebut diingat terus,
Kasih bersantun diintai tabah.

Kampung Gombizou dihuni Rungus,
Sudah terkenal menternak lebah;
Melarut rindu ingatan membius,
Letakkan akal di ufuk pasrah.

Dari udara cantik pandangan,
Malawali damai meski terpencil;
Kasih saudara biar berpanjangan,
Keakraban dicapai ukhuwah berhasil.

Berpuisi bernasyid mauduknya satu,
Kata nan indah menggema dakwah;
Menjadi mursyid iman yang padu,
Tempatkan wadah mulia berhemah.

Angkut terap ke dalam lori,
Lori terlanggar ayam serama;
Mengapa diharap kekasih lari,
Kerana ingkar biarkan sahaja.

Dari Gombizou singgah di Sumangkap,
Membuat gong industri desa;
Merasa jemu berubahlah sikap,
Sama merenung silap siapa.

Sempelang dulu Grace Ville kini,
Sembulan pula tiba giliran,
Perkara dulu usah dipeduli,
Masih ada hala di depan.

Kulit rambai berselerak pula,
Banyak kera mencari susu;
Rasa damai mencapai redha,
Biar bicara peroleh restu.

Ombak berlalu memukul pantai,
Kanak-kanak berlari suka;
Saat malu menyebut pandai,
Takkan pergi ilmu di dada.

Naik kereta api dari Bongawan,
Beli minuman di stesen Papar;
Sabar menanti datang dugaan,
Teguhkan iman jalinkan sabar.

Dalam perahu menulis puisi,
Menyusun kata berdiksi indah;
Semalam tidurku dihiasi mimpi,
Erat akrabmu meneguh tambah.

Memasak serat di dalam kawah,
Santan kelapa digaul sama;
Semarak umat demi ukhwah,
Pautan rasa unggul dicerna.

Puluhan tahun duduk mengarang,
Jadilah ‘Sepasang Sayap Jelita’;
Tabah berkurun kasih menatang,
Abadilah sayang didakap setia.

Ambil kelapa simpang Sikuati,
Jalan bawah sebelum ke Kudat;
Takkan hampa semat di hati,
Hadapi payah dukungan kudrat.

Sebelum sampai di Pekan Papar,
Gerai banyak penuh semangka;
Telah terungkai perasaan sabar,
Rasa layak menerima cinta.

Dalam sampan bawa belati,
Raut lidi dibuat penyapu;
Tetap disimpan impian hati,
Jasad semadi tidakkan jemu.

Pemuda Serani pandai mengukir,
Ukiran mewah kayu jati;
Tidak berani melawan takdir,
Berdoa pasrah restu Ilahi.

Ombak besar disangka Tsunami,
Rupanya tanda bulan penuh;
Tidak kesasar cinta abadi,
Kira tibanya waktu berlabuh.

Tidak putih selamanya putih,
Warna-warni bukti kehidupan;
Tidak pilih selamanya pilih,
Setia abadi dalam fikiran.

Kumpul sabut kemudian dibakar,
Asapnya tebal pedihkan mata;
Usah disambut terasa sukar,
Hanya kesal meresah rasa.

Lamunan Puitis sebuah trilogi,
Shahnon Ahmad sasterawan lama;
Warna setitis menjadi analogi,
Tidak muktamad nilai bersama.

Hujan turun sejak senja,
Anak ikan berenang riang;
Walau berkurun jiwa memuja,
Pasrah sakan tabah berjuang.

DBP nadi membina minda,
Menerbit buku tugas mencabar;
Walau terjadi sedih di jiwa,
Hanya sendu digalas sabar.

Anak ikan baru dibeli,
Diberi pula pada Pak Harun;
Biarpun bulan bicara sendiri,
Gemersik suara menikam kalbu.

Buah duku dalam peti,
Masih banyak di atas dulang;
Pandang daku bak merpati,
Jinak lagak dekat terbang.

Sudah kaktus tumbuh berduri,
Duri lebat menutup daun;
Kata dihunus binasakan seri,
Seri berangkat lara berkurun.

Gong dipalu tanda rasmi,
Bunga api menghias angkasa;
Terukir malu baik sembunyi,
Rahsia dirapi indah merasa.

Naik bas ke Kuala Penyu,
Pandangan indah alam di desa;
Rasa bebas abaikan pilu,
Lupakan payah penjara rasa.

Surat khabar laris dijaja,
Muka depan berita panas;
Andai benar kata diuja,
Nasib badan menerima balas.

USUL MENGENAL ASAL

Anak hamba lawa busana,
Kain lusuh hadiah si Mansur;
Adu domba bawa bencana,
Bangsa runtuh negara hancur.

Atas jambatan papan disusun,
Seberang sungai dibina rumah;
Ambil kesempatan laksana embun,
Terang permai masih mencelah.

Anak manja mandi di sungai,
Gembira hati teramat sungguh;
Apakah makna mohoh dihurai,
Menyemai padi lalang yang tumbuh.

Sungai Padas alur berliku,
Batunya besar berjeram deras ;
Badai cemas menduga laku,
Tidak kesasar bila di atas..

Pekan Nenas tempat persinggahan,
Menjamu selera bekal kembara;
Berjalan membawa hasrat dan pesan,
Disambut mesra sanak saudara.

Tidak kapal sampan diguna,
Asalkan laut tidak gelombang;
Betapa handal bijak bicara,
Bukan mencarut berhujah rambang.

Ambil galah menjolok pinang,
Pohon pinang lebat buahnya;
Betapa payah mata memandang,
Payah lagi menggalas rasa.

Cikgu Mariam membeli permata,
Sayang permata dijual murah;
Biarlah diam dari berkata,
Dari berkata mengundang amarah.

Bukan pantai sebarang pantai,
Pantai Manis nama dinobat;
Bukan pandai sebarang pandai,
Pandai menepis hujah hebat.

Bawa guni berisi kulat,
Buat adik jauh di utara;
Damai harmoni milik rakyat,
Pemimpin dinamik jiwai wibawa.

Dari hulu sampai seberang,
Seberang menyemai padi bukit;
Dari dulu hingga sekarang,
Sekarang damai diinai sulit.

Pesta Kalimaran kebanggaan rakyat,
Budaya dipelihara warnai bangsa;
Datang lamaran wibawa diikat,
Sama mara menabur jasa.

Berhari juga merasa penat,
Tumpukan misi peneraju negara;
Di mana pula boleh mendapat,
Hanya puisi penebus lara.

Jika sampan sudah di air,
Mari berkayuh menuju lautan;
Jika jawapan menyatu fikir,
Hilangkan ragu damai kehidupan.

Galas kayu menuju ke hulu,
Sepasang angsa menjadi teman;
Gagah wiraku di mercu tuju,
Pertahan bangsa sentiasa utamakan.

Jika sampan sudah di air,
Mari berkayuh menuju lautan;
Jika jawapan menyatu fikir,
Hilangkan ragu damai kehidupan.

Galas kayu menuju ke hulu,
Sepasang angsa menjadi teman;
Gagah wiraku di mercu tuju,
Pertahan bangsa sentiasa utamakan.

Bunga Melati di pinggir kota,
Indah disebut dalam seloka;
Hasrat hati ingin berkata,
Hanya mulut terkunci pula.

Sungai Kinabatangan membelah negeri,
Orang Sungai ramai di sana;
Jangan berangan mencari isteri,
Menempuh badai belum sedia.

Atas kelikir berjalan juga,
Bahang mentari mencengkam badan;
Jangan difikir jika terduga,
Wajah berseri peribadi padan.

Budak sihat menangkap sepat,
Pakai tuala berwarna putih;
Jangan jahat bersarang niat,
Kelak tua jauh tersisih.

Sandakan indah ketika pagi,
Cahaya mentari awal muncul;
Jangan mudah menerima puji,
Jika puji mengangkat bakul.

Jika naik air di kuala,
Segera berpindah di tempat tinggi;
Jika baik terima sahaja,
Tidak gundah di dalam hati.

Kampung Maang tidak diabai,
Isu pindah meriah bualan;
Jika malang maruah tergadai,
Tidak diendah buat bantahan.

Selangan batu tumbuhan mewah,
Tanaman ayah sumber rezeki;
Jika tahu tersesat arah,
Punca jalan harus kembali.

Bond Street nama dahulu,
Jalan Gaya masyhur hebat;
Kala sulit diingat daku,
Kala jaya menegur pun berat.

Kalau duku biarlah duku,
Tidak duku menjadi kuini;
Kalau dulu biarlah dulu,
Tidak dulu menjadi kini.

Naik lori membawa padi,
Lebih baik tidak dikisar;
Kalau pergi membawa diri,
Lebih molek jangan kesasar.

Bersama rombongan penulis muda,
Berkampung mesra bersilang pandangan;
Kalau ringan sama di riba,
Waktu sukar ingatkan pengalaman.

Melentur buluh bermula di rebung,
Rebung muda enak digulai;
Kalau sungguh ingin menghubung,
Renunglah mata ingatan disemai.

Kicau murai senja menjelang,
Anak kera dijamu laksa;
Kalau tercapai matlamat cemerlang,
Teruslah mara membela nusa.

Daun simpur pembungkus tapai,
Makan bersama sahabat lama;
Kawan seribu dapat kucapai,
Kasih yang satu menjaga delima.

Bot bergerak terlalu laju,
Air laut mula gelora;
Kedai berselerak tidak menentu,
Tetap disambut tanpa suara.

Lebuh raya tidak berdebu,
Naik feri menuju Labuan;
Kelak berjaya membela ibu;
Anak mithali jadi gelaran.

Sungai Manila tidak bersungai,
Korban biasa perubahan masa;
Ke mana juga usaha bernilai,
Tiadalah jaya diolah sengketa.

Terang bulan tanpa cahaya,
Mak Semat menenun kain;
Kupandang tuan segak bergaya,
Berkata hebat dibuat lain.

Dapat cempedak dekat Mempagar,
Kaum Bisaya harmoni bangsa;
Semasa budak cerdas belajar;
Sudah berjaya memberi jasa.

Menyedut tekuyung waktu pagi,
Rasa halia memikat enak;
Mengapa dikendong rasa berani,
Kalau mulia sudah diinjak.

Sayang Membakut sungainya kecil,
Hutan di bukit sudah tiada;
Mengapa takut mengusir degil,
Biar perit lapanglah dada.

Gelar kota merata tempat,
Kota Belud ke Kota Klias;
Mesti kata jadi azimat,
Tidak kalut menilai balas.

Asal rumbia menjadi tali,
Tali mengikat seberkas kayu;
Niat hamba tidak terperi,
Arah berliku tempat dituju.

Kambing biri kambing gurun,
Kambing aku bagus dagingnya;
Niat hati sudah berkurun,
Hanya saku tidak upaya.

Buah cermai enak ditumbuk,
Tengah hari tambah selera;
Orang ramai datang menyibuk,
Bara api tunjuk juara.

Ombak menggunung tengah lautan,
Mantanani kelihatan melambai selamat;
Orang sanjung suntikkan kekuatan,
Ada kemahuan semua mendapat.

Putatan tempat Tun disemadikan,
Sebuah memorial mengenang jasa;
Perlu bersempat menjalani kewajipan,
Jangan tertinggal diburu masa.

Telur penyu mudah didapat,
Ada peniaga melanggar cara;
Rakyat bersatu kerana muafakat
Pemimpin siaga menunai bicara.

Kayu jati banyak dipesan,
Dibuat lengkap menyimpan padi;
Kawan sejati bukan hiasan,
Tutur sikap cermin peribadi.

Kampung halaman menjadi ingatan,
Bersama saudara hamba membesar;
Sahabat kawan menjadi teman,
Menenun pengalaman membasuh gusar.

Rumah gelap tidak berlampu,
Terlanggar tiang nenek melatah;
Salah khilap memang selalu,
Andai diulang mengundang marah.

Le Rasa di hadapan selat,
Pantai landai pilihan pelancong;
Satukan kata utuhkan amanat,
Utuhkan pandai membidas bohong.

Buah pala menyegar selera,
Gulai kari ekor lembu;
Sekali sekala terkena bara,
Gemar berperi temberang melulu.

Adinda kupujuk menumbuk padi,
Padi dijemur dimakan lembu;
Selalu rajuk merugikan diri,
Sebelum berlaku fikir dahulu.

Kampung Jawa Kampung Berunai,
Kampung Pikat dekat Bongawan;
Sudahlah lawa masih berusai,
Tingkah memikat jejaka bangsawan.

Bendera berkibar disambut hormat,
Seragam sama arahan tetap;
Sumpah diikrar tidak khianat,
Bangsa agama di jiwa tegap.

Katak bersahut waktu petang,
Takutkan ular melompat-lompat;
Telah bersambut malang datang,
Hati tawar tidak mendapat.

Segak belia bendera berkibar,
Beliawanis sopan meraut lidi;
Telah berusia baik bersabar,
Tegarkan iman kukuhkan peribadi.

Minta buku diberi buku,
Dalam buku ada ceritanya;
Tidak laku salahkan saku,
Dalam saku tiada pulusnya.

Kuala Lumpur megah dijunjung,
Jadi idaman para saudagar;
Tidak sudah melentur rebung,
Memberi jalan meredah sukar.

Hujan gerimis membasah jalan,
Debu pupus pergerakan selesa;
Tidak terhakis kelat pengalaman,
Tidak terhapus ilmu di dada.

Tun Mustapha nama terkenal,
Limau-limauan kampung kelahiran;
Wangi cinta sayang pun kental,
Rahsia berzaman mekar kehidupan.


Hakcipta Terlihara © 2008 HASYUDA ABADI

KALAU BUKAN KEHENDAK HATI

Batu kerikil sepanjang jalan,
Kanan kiri hutan dara;
Apakah degil riwayat ke hadapan,
Diri sendiri penyebab angkara?

Berkaca mata menonton wayang,
‘Tentang Dia’ kisah sahabat;
Baca nota mohon diulang,
Terang nyata makna tersirat.

Sambal udang sambal pari,
Tiada lawan sambal belacan;
Baru datang berlagak berani,
Mahu menawan hati puan.

Jiran tetangga bersatu hati,
Menjalin padu elakkan sengketa;
Berbagai duga sentiasa ditemui,
Mantap jitu memaknakan dewasa.

Bermalam sudah di Kem Kubena,
Tumpahkan ilmu pelatih harapan;
Biar beralah melerai sengsara,
Andai kelu tidak disimpan.

Di tepi kali mengunyah kuaci,
Anak ayam berkumpul sama;
Bukan menyepi kerana benci,
Bukan diam kerana tak suka.

Mawar dicari duri terjumpa,
Tiada rotan akar berguna;
Cincin di jari dari siapa,
Rupanya adik sudah berpunya.

Dalam peta sudah terlihat,
Simpang Mengayau ombak bertemu;
Diam berkata indahnya sifat,
Fikiran kacau tidak membantu.

Disangka datang dari Sipitang,
Durian Ranau dijual sudah;
Disangka petang utusan datang,
Hanya engkau di depan rumah.

Asah belati di malam hari,
Potong sepat untuk jamuan;
Gelisah hati mengingat diri,
Tolong sahabat korbankan impian.

Ekor kucing jadi penarik,
Terkurung sedih dalam raga;
Gemar memusing tidakkah serik,
Teman beralih tidak menyapa.

Pasang lampu di siang hari,
Mahu bersiap menangkap udang;
Hanya mampu menyusun jari,
Lafaz maaf mohon ditimbang.

Hari ini menuai jagung,
Hari esok menuai padi;
Hari ini dibuai sanjung,
Hari esok dibuai benci.

Pekan Sipitang jadi singgahan,
Banyak kereta mengisi minyak;
Hati rawan dilupakan teman,
Memberi berita langsung tidak.

Jarum peniti atas buaian,
Ajaran nenek elak gangguan;
Hebat teliti menjelas persoalan,
Meski pelik dapat kepuasan.

Hendak menari tidak berlagu,
Irama asli kegemaran Dayang;
Hendak dicari tidak bertuju,
Bila bertemu pula dilarang.

Kanji dimasak gunanya ada,
Dituang perlahan di dalam mangkok;
Janji didesak bukanlah cara,
Uji bertahan menanti esok.

Jolok mangga waktu pagi,
Bawa ke pasar dijual borong;
Jangan berbangga sesungguh hati,
Sebelum benar perkara mendorong.

Syahfierah gemar membaca sajak,
Semangat waja hadapan guru;
Jangan dicemar gara terlajak,
Sesal teruja rasa terharu.

Jangan tuai padi tak masak,
Hanya hampa saja yang dapat;
Jangan pandai saja mendesak,
Hanya lara saja yang rapat.

Jangan padi disangka padi,
Jika ditampi cuma hampanya;
Jangan sudi disangka sudi,
Jika sudi cuma sapanya.

Ke mana jalan hendak dituju,
Jalan berliku ke kebun gajus;
Jika badan sudah setuju,
Katakan waktu masa mengutus.

Bunga harum simpan di peti,
Jangan lupa hantar ke Bintulu;
Jika belum perlu di hati,
Cukup bersapa sekadar perlu.

Tunggul Tinggi nama tempatnya,
Berdiri megah menara pemancar;
Jika budi tertanam di jiwa,
Di mana berada rasa tak gusar.

Jika bukan kerana nangka,
Tidak getah singgah di jari;
Jika bukan kerana hamba,
Tidak betah singgah di sini.

Kalau putus tali kemudi,
Tali kemudi dicari dulu;
Kalau diutus maksud sudi,
Jangan sudi setuju melulu.

Kalau ubi sudah menjadi,
Jangan isi menjadi kayu;
Kalau hati sudah terisi,
Jangan seri menjadi layu.

Kalau padi menjadi beras,
Dari beras menjadi bubur;
Kalau sudi niat dibalas,
Biar dialas niat yang jujur.

Telah berbilah diasah parang,
Bersiap ke hutan menebang kayu;
Kelak sudah tiada sayang,
Mohon kemaafan daku berlalu.

Anak Sungai berjeram deras,
Tumpuan orang mandi-manda;
Kelak terurai rindu yang jelas,
Tiada hilang kasih kekanda.

Jalan sesak di masa puncak,
Lori lama sama beratur;
Kiranya ditolak terkena onak,
Luka hamba bertambah subur.

Kirai sigup banyak di pasar,
Kapur sirih sahaja dibeli;
Kiranya sanggup mencanai debar,
Mohon dipilih teman sejati.

Lepas berenang berlari anak,
Dikejar angsa laju larinya;
Mahu dikenang siapa nampak,
Hanya rasa teguh memuja.

Ikan gelama dimasak kicap,
Ikan siakap digulai lada;
Mana irama mahu digarap,
Belum tergarap terkulai nada.

Buru basing pokok ke pokok,
Pokok rambutan tidak berbiji;
Masing-masing lagak berkokok,
Ayam jantan tidak bertaji.

Berjalan jauh banyak cerita,
Sedar tidak teman terlelap;
Menarik sauh berat terasa,
Belayar tidak tapi berharap.

Bertudung mencari harta karun,
Pantun madah jadi nyanyian;
Mendung tanda hujan nak turun,
Air ditadah dibuang jangan

Kampung Manggis jalan berliku,
Pekan Papar tempat berjual;
Mengapa menangis bertemu daku,
Makan sepinggan tidur sebantal.

Hilanglah ayu kerana pekerti,
Luntur dimamah sifat mazmumah;
Mengapa selalu dihina benci,
Kesasar langkah bukankah lumrah?

Gelaga dan tebu sama sahaja,
Manis airnya diminati ramai;
Merana badan tidak berdaya,
Impian jiwa tidak tercapai.

Kampung Karangan dekat Lumadan,
Kebun cempedak di sana banyak;
Panas baran bukan amalan,
Bila kehendak berlawan tindak.

Bukit Kubena tempat pelatih,
Singgah di Lawas membeli beras;
Perit adinda jalan bertatih,
Lama berawas agar tak tewas.

Berarak awan irama seruling,
Belayar mudik bawa puteri;
Ramai kawan duduk keliling,
Hanya adik tabah di sisi.

Orang putih berjalan kaki,
Orang hitam naik basikal;
Rasa pedih berbuku hati,
Muka masam kecamuk akal.

Dalam baju ada saku,
Dalam saku sebentuk cincin;
Rasa sayu lidah kelu,
Rasa malu menyampai ingin.

Leo AWS Rosli K Matari,
Penyair berdua jadi sahabat;
Tidak tertulis madah bestari,
Hilang sirna permata kalimat.

Dadih pekat sudah dihidang,
Belum dijamah tetamu Pak Lebai;
Sedih teramat kekasih hilang,
Kuntum nan indah layu terkulai.

Atas pagar burung merpati,
Menanti masa terbang ke udara;
Sudah diujar mengubah pekerti,
Tepuk dada soal selera.

Burung tempua bersarang tinggi,
Burung undan bersarang rendah;
Sudah berusia tak sedar diri,
Lahad di depan masih tak berubah.

Menyusur liku ke Sungai Kayu,
Budak-budak gembira menyambut;
Sudah tahu perangai begitu,
Masih hendak tingkah diikut.

Membaca akhbar pelbagai isu,
Bahan dicari belum kelihatan;
Tanpa khabar diam membisu,
Mohon berkongsi mengapa gerangan.

Letak buluh di ambin rumah,
Dipotong rata jadikan rakit;
Telah bersungguh hati diserah,
Berat berkata khabarkan sulit.

Sambil menyapa tersimpul senyuman,
Menyahut seruan berbudi murni;
Tiada siapa memilih teladan,
Kalau bukan kehendak hati.

Pakai sari tenunan Murut,
Benang merah dari Nabawan;
Tidak sekali kemahuan diturut,
Tersilap arah berkecai impian.
Benarkah pahlawan tewas ditawan,
Tiada mayat menjadi bukti;
Benarkah kawan memakan kawan,
Sanggup menjilat ludah sendiri.

Datu Paduka insan istimewa,
Berzaman dikenang dalam sejarah;
Bila duka dilindungi tawa,
Sentiasa tenang menerus langkah.

Redah laut menuju Labuan,
Bawa bekal sebungkus linopod;
Dahi berkerut mengenangkan teman,
Lidah kelu menyampai maksud.

Dulu Diasoka menjadi Api-Api,
Kota Kinabalu gemilang bertakhta;
Dulu suka menjadi benci,
Terjadi sayang di balai cinta.

Hakcipta Terlihara © 2008 HASYUDA ABADI